Tuesday, July 11, 2017

Cerpen: Muhawala - Dewan Sastera Jun 2017







Cerpen:  Muhawala
Oleh: Fudzail

Suara azan subuh berkemundang merentas 'Rimba', kawasan penempatan seluas satu kilometer persegi. Penempatan pelarian dan imigran bandar Calais. Meruntun jiwa dalam kesayuan memecah ruang hari pertama Ramadan. Merobek hati-hati yang mengimpikan matahari terbit di bumi lain buat sekian kali, walau jasad masih terdampar di panorama tanpa kemesraan.
Suara  gemersik mendayu dari Omar, bilal muda yang berasal dari Qusayr, Syria itu bagai ledakan dari hati yang merintih. Penuh kesyahduan dan melankolik. Mewarna subuh yang datangnya seperti subuh-subuh sebelumnya, bersama harapan menggunung. Bersama rintihan perjalanan semusim tanpa kebahagian. Hanya impian dan usaha berterusan.
Ramai jemaah yang habis bersahur di Dapur Malaysia, soup kitchen berhampiran tersentuh. Seperti biasa, dalam serba kekurangan dan kedhaifan, harapan tetap mengisi minda dan jiwa. Memamah apa saja juadah yang ada dari belas kasihan para penyumbang tanpa nama.
Berlaparan bukan sesuatu yang asing, mereka telah lama makan sekadar mengisi perut, sekadar ada. Selalunya sekali sehari dan kalau ada rezeki, dua kali sehari.
Ramadan memberikan pahala untuk berlapar dan berdahaga.
Memandang ke arah saujana ruang yang diselimuti garis sinar fajar menyinsing. Berlapisan dan bertindihan dengan emosi dari wajah-wajah tanpa nama. Sekadar statistik untuk rekod kemanusiaan.
Kim Leong tersedu, pun menarik nafas panjang bagai menelan seribu kesedihan.
Melihat sepi ke arah masjid tanpa bumbung dan dinding. Jemaah selesai menunaikan solat dan kemudian berwirid. Membaca Quran. Ada yang terus keluar ke sarang, pondok dan kemah masing-masing, untuk tidur. Puasa yang panjang. Hampir 18 jam.
Suasana siang musim panas bagai dalam perkabungan.
Begitulah yang mengasak minda  Kim Leong. Datangnya ke Rimba Calais secara berkebetulan. Bercuti di UK, menyeberangi Selat Inggeris dari Dover ke Calais. Singgah meninjau bandar Calais sebelum mengambil tren ke Paris.
Dikala bersiaran, ternampak dan bertemu pasangan dari tanahair yang sedang membeli barangan di pasaraya. Menegur dan berbual. Perbualan pendek. Kata-kata menyambar imaginasi. Mengesankan. Membuatkan Kim Leong tidak seronok di Paris, terus kembali ke Calais. Menjejak Rimba dan menjadi salah seorang sukarelawan.
Membantu Faez dan isteri, Kamilah yang mengemudi Dapur Malaysia. Menyediakan makanan kepada ratusan pelarian dan imigran setiap hari. Menjadikan Dapur Malaysia salah sebuah soup kitchen yang popular. Juadah dengan resipi dan menu Malaysia memang menyelerakan. Apalagi Faez dan isteri menjadi tukang masak profesional semenjak enam bulan menjadi penyelenggara Dapur Malaysia secara sukarela. Meninggalkan pekerjaan, keluarga dan tanahair untuk berbakti kepada pelarian seagama. Berkorban dalam mencari pahala dan keberkatan.
"Ironi, hampir kesemua sukarelawan yang bekerja di Rimba itu bukan orang Islam dan hampir kesemua pelarian dan  imigran adalah orang Islam. Begitu juga sumbangan dana, hampir semuanya dari orang bukan Islam!"
Begitulah kata-kata Faez yang membuatkan Kim Leong tertanya-tanya sendiri. Persoalan yang mengasak bersama jawaban yang pelbagai. Bersama andaian dan spekulasi.
Semenjak seminggu, Kim Leong kenal ramai pelarian Syrian. Selain bapa-bapa yang menguruskan keperluan keluarga, kebanyakan mereka bangun lewat di Rimba yang juga berbau dengan pelbagai sampah dan najis berselerakan. Mereka lena dibungkus dalam kain kerpal dan papan lapis. Bagai Hoovervilles dalam novel 'Grapes of Wrath'  karya John Steinbeck yang menjadi bacaan Kim Leong di zaman persekolahan.
Cukup menyedihkan. Cukup memilukan.
Kim Leong juga dapat melihat kumpulan pelarian yang baru tiba, terlalu keletihan merentas benua Eropah, terus sahaja berbaring dan tidur atas lorong berdebuan. Tanpa peduli kepada tikus-tikus berkeliaran. Malah tikus-tikus juga seakan menyambut kedatangan pelarian dan imigran sebagai rezeki baru.
"Sebab itulah, kawasan penempatan ini dipanggal Rimba kerana manusia terpaksa hidup seperti haiwan, Para penghuni Rimba, sama ada pelarian Syria atau imigran Afrika, mereka tidak tidur malam bukan ada sebabnya. Mereka berjaga sepanjang malam untuk muhawala, berusaha keras dan gigih untuk menyeberangi selat dan mencecah tebing pulau Inggeris!"
Kim Leong mendengar Faez bercakap. Perbualan santai dalam bahasa Melayu. Mereka menjadi semakin rapat dikalangan manusia yang tidak bercakap bahasa Melayu. Perbualan mereka bagai kerinduan kepada tanahair. Kepada suasana yang meriah dengan kehidupan normal. Kehidupan yang walau turut dibebani pelbagai masalah, kemelut politik dan ekonomi. masih mempunyai tempat berteduh dan makanan melimpah. Rahmat di bumi bertuah.
Apalagi dalam bulan Ramadan yang meriah dan menanti sambutan hari raya.
Semua orang tahu yang kerajaan England tidak mahu menerima pelarian Syria dan lain-lain dari Rimba. Semua orang tahu yang dinding telah dibina mengurung Rimba bagai Israel mengepung Palestin. Dengan kawalan ketat polis biasa dan polis anti rusuhan (CSR) yang memang dibenci itu. Sebaik senja, CSR terus berpakaian lengkap, bertopi dan bersenjata bersiap sedia di stesen petrol di mana trak-trak Inggeris mengambil bekalan petrol. Berselindung dalam van yang bersembunyi dalam semak samun, bersedia menyerang pelarian dari Rimba yang mahu mengambil kesempatan.
Memang semakin sukar untuk pelarian menyusup ke dalam trak-trak. Kawalan semakin ketat di mana-mana. Drama antara CSR dan pelarian tidak pernah tamat. Semakin menjadi peperangan yang memakan korban dikalangan pelarian, yang tentunya telah menggadai nyawa, terselamat dari menyeberangi Mediterranean, dan tidak bolos menyeberangi Selat Inggeris.
Kim Leong sempat melihat pihak berkuasa meruntuhkan pondok-pondok pelarian dimalam sebelumnya. Mengecilkan kawasan Rimba. Pelarian segera berpindah ke kawasan selatan Rimba menyebabkan kawasan itu bertambah penghuni sebanyak empat kali ganda.
Zon penampan (buffer zone) semakin luas. Kosong. Menjadi tempat permainan kriket oleh pelarian  Pakistan dan Afghanistan. Mereka menjerit 'no ball' atau 'howzat' seakan mereka bermain di padang kriket Lord London. Tentunya pelarian dari Afrika seperti Eritrea dan pelarian Syria, yang tidak memahami permainan kriket mengomen kenapa perlu meluruskan tangan sewaktu membaling bola kriket. Lantas mereka lebih suka bermain bola yang tidak perlu gaya tertentu. Bermain untuk membuang masa dan menyihatkan tubuh badan.
"Kau perlu tahu, apabila seseorang pelarian Syria mahu mencuba muhawala, mahu mencuba menyeberangi Selat Inggeris, ianya seakan pergi untuk berjuang di barisan hadapan perang!"
Kata Abbas, salah seorang pelarian Syrian yang menjadi pembantu sukarelawan Dapur Malaysia. Dia sentiasa termenung jauh, pendiam dengan kepala tanpa rambut. Suka merokok diatas atap Dapur. Faez mengesyaki Abbas mahu membunuh diri kerana kemurungan kehilangan semua ahli keluarga yang lemas sewaktu menyeberangi Mediterranean.
Sukar untuk memastikan dia salah seorang yang boleh menjadi pengebom berani mati kerana dia tidak pernah tinggal solat. Diamnya boleh menggerunkan.
"Saya tidak peduli negara mana untuk menjadi pelarian dan dalam keadaan tidak menentu, rela untuk kembali ke Syria. Lebih baik mati dengan maruah di sana daripada menjadi bangsat!"
Begitupun, Abbas tetap mencuba muhawala. Tetap mahu bangun pagi bersama sinaran fajar negara yang sama terlibat memusnahkan tanahairnya.
Abbas sama-sama menghidang buka puasa kepada pelarian Rimba yang beratur panjang. Begitu tekun dan penuh komited. Mengemas dan membasuh peralatan dapur. Bergegas ke masjid terbuka itu untuk solat. Selepas tarawih dia kembali ke Dapur Malaysia.
Dengan selipar, beg kecil, Abbas mengucap selamat tinggal kepada Kim Leong dan Faez. Seperti mlam-malam sebelum Ramadan, cukup yakin yang dia akan dapat menyeberangi Selat Inggeris kali itu, Katanya doa selepas tarawih memberikan keyakinan.
Mungkin doanya termakbul. Begitulah harapan Kim Leong. Mungkin malam Ramadan itu kali terakhir dia melihat wajah Abbas.
Abbas telah berkali-kali mencuba muhawala semenjak menjadi penghuni Rimba. Melompat ke gerabak tren yang bergerak laju, memanjat trak-trak, mencuba apa sahaja dan terus gagal. Malah terus yakin dan penuh semangat membara. Nothing to lose. Dia telah kehilangan semuanya.
Setiap warga Rimba yakin akan berhasil dan berjaya seperti mana ramai yang lain, walau yang gagal jauh lebih ramai. Seorang lagi pelarian, Karim, yang duduk depan Dapur. Berjaya meloloskan diri menyusup ke Rimba dari Afghanistan melalui Itali dan menghuni Naples agak lama sehingga mampu bercakap bahasa Itali.
"Saya akan terus mencuba muhawala. Pernah berjaya ke England tetapi dihantar balik. Akan terus mencuba selagi ada nyawa dan kederat. Hanya England yang terbaik. Jerman, Perancis, Itali semuanya rasis, mereka melayan kami pelarian seperti haiwan, sebagaimana dalam Rimba ini!"
Kim Leong mengangguk. Setelah berada di Rimba, bersama ribuan pelarian, terasa begitu kecilnya diri. Timbul keinsafan mendalam. Selama itu, dia mengganggap orang-orang Barat bukanlah spesis yang rasis. Tentunya tidak semua rasis kerana majoriti sukarelawan yang bertungkus lumus membantu pelarian adalah orang-orang Barat juga.
Dia tahu ada refleksi dari cerminan suasana Rimba. Kemanusiaan masih tersisa bersama keprihatinan. Pelarian yang sanggup menggadai nyawa itu pun bukan suka-suka menjadi pelarian. Mereka tiada pilihan. Negara telah musnah oleh perang yang didokongi negara-negara Barat. Semuanya menjadi kitaran setan. Jutaan yang menjadi pelarian adalah mangsa keadaan dan mangsa percaturan politik Barat. Mereka perlu diberi bantuan dan kasih sayang.
Malam Ramadan itu juga Kim Leong melambai selamat berjuang, selamat muhawala kepada Osman. remaja berusia lima belas tahun dari Aleppo yang yang yatim piatu, keluarga dibunuh oleh rejim Syria dan ISIS. Kata Faez, Osman telah mencuba setiap malam semenjak tiba lima bulan lalu. Tidak pernah putus asa. Pernah cuba untuk menaiki Eurostar. yang mana tidak mungkin berhenti untuk mengambil sesiapa. Tentunya tiada penumpang Eurostar yang akan tahu ada remaja terbunuh dalam perjalanan mereka ke St. Pancras sekiranya ada nahas kemalangan.
Malah seminggu sebulan Ramadan, tidak banyak lapuran kematian lebih seribu pelarian di Mediterranean berbanding dengan kematian seekor gorila di sebuah zoo Amerika. Apalagi dengan kempen pilihanraya Amerika yang mengisi media seakan pelarian yang tiada apa-apa nilai sebagai manusia.
Memualkan. Meruntun perasaan. Terutama para penyeludup megaut keuntungan berbilion dollar atas penderitaan pelarian.
"Mustahil sekali untuk pelarian melepasi pagar, tembok, zon penampan dan terowong!"
Kim Leong berkata perlahan sambil melihat ke arag langit yang berbintang. Memancarkan kerlipan cahaya. Bilion bintang bintang bersinaran menyambar keindahan.
"Tetapi ramai juga yang berjaya!" Faez bercakap sambil matanya ke arah skrin telefon. Menerima pelbagai mesej untuk menyumbang dana Dapur Malaysia. Kutipan sudah semakin bertambah. Terutama dari Malaysia semenjak video klip Dapur Malaysia menjadi viral di media sosial.
"Ada sesuatu yang menakjubkan selama mereka terus cuba muhawala. Merangkumi jurang penghinaan antara yang papa kedana dengan yang kaya raya, jurang kebodohan manusia dan pada waktu yang sama, harapan menggunung untuk kemanusiaan!"
Suara mendatar Faez merumuskan semuanya, dunia dalam kemelut kemanusian yang semakin teruk. Kuasa-kuasa besar, pemain-pemain korporat dan ketenteraan mempunyai agenda masing-masing dan kemanusiaan bukan prioriti.
"Kenapa England menjadi obsesi pelarian?" Tanya Kim Leong, sambil melihat tajuk berita di skrin telefonnya, 'Lebih 330 ribu pelarian bolos ke UK!'
"Apakah ada dibawah  jalan-jalannya tersembunyi emas berlian?"
Faez ketawa.
"Di UK, seorang pelarian menerima lima pound sehari, akan menerima bekalan makanan, ada kesusahan tetapi selamat dan itu lebih bernilai dari emas berlian untuk pelarian yang telah mengembara jauh dari Eritrea, Iraq, Syria, Afghanistan, Libya dan banyak negara lain. Untuk menyelamatkan diri dari perang dan diktator zalim. Tentunya Selat Inggeris bukan halangan besar!"
Ada suara-suara ketawa dalam kegelapan Rimba.
"Pernah sekali, satu malam, kem pelarian Syria disatu sudut Rimba disinari oleh nyalaan api setinggi 12 kaki yang boleh dilihat semua orang. Mulanya disangka pondok mereka terbakar tetapi terdengar suara nyanyian penuh kegembiraan.  Berpestaan. Salah seorang pelarian Syria itu telah berjaya menyusup diri ke London. Bagaimana? Hanya Tuhan yang tahu. Tetapi kejayaan itu adalah bukti daya tahan manusia yang tiada pilihan lain untuk survival"
Kim Leong tidak dapat berhenti daripada memikirkan mengenai Abbas. Walau baru berkenalan, Abbas memberikan satu refleksi yang merentas persepsi dan perspektif mengenai survival pelarian.
Sekiranya Abbas berjaya menyusup masuk ke UK, dia mesti meyakinkan pihak  berkuasa UK yang dia tiba tanpa mengetahui tanpa transit melalui mana-mana negara Eropah lain. Lebih daripada itu, Abbas diharapkan tidak ditangkap oleh pihak perisikan. Ramai yang menghuni Rimba tahu kebanyakan sukarelawan itu juga anggota perisikan semenjak tragedi Paris dan Brussels.
Kim Leong tahu yang Abbas boleh melalui jalan lebih mudah. Memohon suaka politik di Perancis dan ditahan di Kem Salaam, mendiami dalam kontena putih bersih dan mandi air panas. Masalahnya, Kem Salaam adalah sebuah penjara dan dikurung sehingga semua proses permohonan dibuat.
Kemungkinan permohonan pelarian gagal adalah jauh lebih besar. Dihantar semula ke Serbia atau Greece, dan paling mahu dielakkan, dihantar pulang ke negara asal. Abbas tentunya mahu jalan terakhir untuk pulang ke Syria. Tentunya kebebasan dalam Rimba yang berbau najis dan penuh dengan tikus itu lebih baik untuk ramai pelarian dan boleh bila-bila masa mencuba muhawala.
Tiba-tiba Kim Leong tersentak.
Ada kegemparan dalam kegelapan. Suara-suara menjerit dari satu arah. Faez sama tersintak. Kemudian duduk kembali mengadap skrin telefon.
Kim Leong terpinga-pinga,
"Mungkin ada pergaduhan kecil. Dengan pelbagai bangsa dan budaya, kekadang ada situasi anarki di Rimba ini. Masing-masing boleh sahaja saling berselisih faham. Dengki mendengki. Rasis juga. Begitupun, tidak ramai yang mahu berbunuhan kerana lebih baik mati menyeberang Selat Inggeris dari mati dalam Rimba ini!"
Kim Leong mengangguk perlahan.
"Mungkinkah pihak polis Perancis meruntuhkan kemah, pondok?"
Faez berpaling dan melihat ke arah suara yang hingar. Sudah banyak kali Polis Perancis membuat serbuan dan selalunya pelarian tidak melawan.
Tiba-tiba John, sukarelawan yang juga pelarian dari Eritrea muncul dalam kegelapan.
"Tiada apa-apa. Hanya perebutan tapak kemah antara pelarian!"
Faez tersenyum. Manakala Kim Leong terus melihat keliling dalam kegelapan.
Dia telah menjejak kesemua kawasan dalam Rimba. Tahu kawasan-kawasan mengikut bangsa atau negara. Orang Kurdis mengibarkan bendera berwarna merah, putih dan hijau dengan matahari ditengah-tengah. Orang Afghan dengan bendera hitam, merah dan hijau. Orang Sudan pula tanpa bendera tetapi seharian bermain domino dan membakar kemenyan di malam hari.
Melalui Abbas, Kim Leong mengetahui yang pelarian Syria juga tidak mempunyai bendera. Tidak mahu mengibarkan bendera Assad atau bendera pemberontak. Hampir semua pelarian adalah lelaki, anak-anak petani yang menyertai pemberontakan sewaktu belasan tahun. Kim Leong dapat merasakan kemesraan pelarian Syrian yang begitu menyentap perasaan. Kebanyakan mereka datang dari Der’a al-manquba, yang bererti bandar Dera'a yang dipenuhi lubang. Bandar yang menjadi permulaan pemberontakan.
Semua itu menjadikan Kim Leong terasa rindukan tanahair. Rindukan kawan-kawan pelbagai bangsa yang menjadi sebahagian daripada kehidupan. Dia mengambil cuti sebulan dalam Ramadan tanpa gaji untuk menjadi sukarelawan dan memanusiakan dirinya sendiri. Segala kemewahan  dari dunia korporatnya seakan tiada erti apa-apa setiap kali melihat wajah-wajah yang beratur untuk sesuap makanan di Dapur Malaysia. Wajah-wajah yang mengimbau masa lampau sewaktu dia hidup dalam kesempitan dan kemiskinan.
Faez memohon diri untuk tidur sebelum bangun menyiapkan juadah sahur. Kim Leong masih belum mengantuk, dia juga mesti menyediakan segala bahan masakan bersama tiga lagi sukarelawan Rimba.
"Di sini, di Rimba ini, agama memainkan peranan penting dalam urusan kehidupan. Ucapan salam, doa untuk melindungi keluarga meruntuhkan tembok rasis dan saling syak mengsyaki!"
Ujar John yang sama berpuasa walaupun beragama Kristian. dia sama menumpang tidur dilantai Dapur Malaysia.
"Ada satu gereja dan tujuh masjid dalam Rimba!"
Sambung John yang lebih fasih berbahasa Perancis dan menjadi jurubahasa untuk Faez dengan pihak penguasa Perancis.
Faez ada memberitahu yang masjid-masjid dibina untuk kebajikan fraterniti masing-masing. Menujudkan suasana negara yang mereka tinggalkan. Masjid terbesar, Masjid Umar yang diasakan pelarian Syria menjadi simbol solidariti dan para imam bersatu menangani apa-apa ketegangan antara pelbagai mazhab dan bangsa. Imam Masjid Umar berasal dari Afghanistan, satu lambang yang Islam tidak hanya dikuasai oleh orang Arab.
"Sebenarnya, biarpun para politikus masih bertegang di Westminster dengan isu pelarian dari Rimba, warga Inggeris masih bermurah hati menerima pelarian seperti masa lalu, tidak kira Protestant, Yahudi, Orang Poland atau oang Afrika. Malah sembilan puluh peratus sukarelawan yang ada adalah orang British!!"
Sambung John yang gagal lagi malam itu untuk muhawala.
"Klinik sementara dibina dan ditanggung oleh mereka, ada menderma karavan untuk pesakit yang lemah dan rentan. Ironi nama-nama seperti Claire, Rosemary, Diana disebut-sebut dengan penuh hormat dan mesra, seperti keramat oleh orang-orang Islam walaupun sukarelawati tersebut semuanya ateis!"
Bersemangat John bercerita dari pengalamannya menjdi sukarelawan di klinik sementara.
"Apakah sukarelwati tersebut mempunyai agenda tertentu?" Tanya Kim Leong.
John terdiam. Tidak pernah pula terfikirkan perkara itu.
"Atau mungkin mereka anggota perisikan?"
"Mungkin juga. Apapun, kita tidak pasti dan tidak peduli. Yang pasti, mereka mungkin tidak balik ke masyarakat masing-masing seperti sebelum merek datang!"
Perbincangan semakin menarik apabila Kim Leong dan John segera menyiapkan bahan untuk masakan. Faez dan isteri serta dua pembantu lain akan memasak.
Kemudian Kim Leong terlena dikerusi rehatnya. Bermimpikan Abbas yang tidak kembali seperi malam sebelumnya. Tentu sudah berjaya masuk ke England atau menjadi statistik kematian.
Abbas tidak pulang untuk membantu persiapan. Itu satu perubahan.
Kim Leong tersedar apabila azan subuh bergema. Sekian kali. Kesayuan dalam keindahan melankolik. Menyantun kelembutan jiwanyan yang semakin tersentuh.
Kim Leong segera bangkit. Cepat-cepat membasuh muka.
Tersenyum puas hati melihat juadah sudah kehabisan dan Faez menunjukkan ada makanan yang disimpan khas  untuk Kim Leong. Nasi dengan gulai ayam dan kurma. Cukup untuk mengisi perut. Lebih dari cukup untuk berpuasa sehari lagi.
Sambil menjamah makanan, Kim Leong melihat jemaah solat subuh. Berdoa beramai-ramai ke hadrat Ilahi. Bersusun dan bertertib. Kusyuk dan fokus.
Dia yakin, melihat ke arah wajah-wajah tanpa nama, ada yang berdoa untuk ke syurga. Lebih ramai yang berdoa untuk ke England. Ada berdoa agar hari itu menjadi hari terakhir mereka di Rimba. Atau mungkin hari terakhir atas muka bumi, malah ada doa mereka itu termakbul sama ada berjaya atau tidak dalam misi muhawala!

No comments: